Wednesday, August 18, 2010

Ramadhan dan 10 Muwasofat.

Imam Hassan Al Banna rahimahullah berdasarkan kefahaman beliau terhadap Al-Quran dan Sunnah telah menggariskan 10 ciri-ciri yang perlu ada pada setiap individu Muslim. Dalam artikel ini, kita akan berbincang bagaimana Ramadhan menjadi pemangkin kepada tercapainya 10 ciri-ciri tersebut:

1. Salimul Akidah (Akidah Yang Sejahtera):

Dalam bulan Ramadhan, kita diwajibkan berpuasa selepas terbitnya matahari sehingga terbenamnya matahari. Berpuasa, ertinya menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa (makan, minum dll).

Berbanding ibadah-ibadah khusus yang lain seperti solat, zakat dll puasa mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, iaitu lebih kurang 12 jam. Dalam masa setengah hari ini, umat Islam betul-betul diuji keyakinan dan keimanannya kepada Allah SWT. Bagaimana?

Hanya individu yang kuat dan teguh akidahnya sahaja mampu bertahan untuk tidak makan walau sebutir nasi atau minum seteguk airpun sewaktu berpuasa. Kita boleh saja makan sendirian di dalam rumah dan meneguk air sewaktu ke tandas,kemudian berpura-pura berpuasa semula di depan orang lain. Siapa yang akan nampak?

Tetapi, kita semua tahu bahawa Allah SWT nampak! Dia melihat apa saja yang kita kerjakan. Dia malah mengetahui apa yang terkandung di dalam hati sanubari kita. Jadi, dengan berpuasa, secara langsung Allah SWT ingin menguji kekuatan dan kesejahteraan akidah serta keyakinan kita kepada-Nya.

2. Shahihul Ibadah (Ibadah Yang Benar):

Tatkala kita mengisytiharkan Ramadhan sebagai Karnival Ibadah, maka sudah semestinyalah ibadah-ibadah yang akan dikerjakan sepanjang sebulan ini adalah shahih (BENAR) sepertimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Puasa, solat tarawih, tilawah quran, iktikaf, zakat, sedekah dan lain-lain merupakan antara ibadah-ibadah yang telah diteladankan oleh Baginda SAW kepada kita semua. Kita perlu berusaha agar kesemua ibadah-ibadah ini dilaksanakan dengan BENAR, tanpa dicampuri dengan tambahan-tambahan perkara yang tidak diajarkan Allah dan Rasul-Nya (bid’ah).

Antara isu hangat yang diperdebatkan adalah berkenaan bilangan rakaat dalam solat tarawih, samada 8 atau 20? Saya tidak bermaksud untuk membincangkan permasalahan ini di sini, anda boleh rujuk mana-mana pandangan ulama yang muktabar dan penjelasan daripada ustaz ustazah kita.

Apapun, marilah kita kembali kepada TUJUAN asal disyariatkan ibadah itu sendiri iaitu tidak lain tidak bukan untuk taqarrub kepada Allah SWT. Untuk menghantarkan diri, jiwa dan raga kita kepada perhambaan dan kedekatan kepada-Nya semata-mata.

3. Matinul Khuluq (Akhlak Yang Mulia):

Dalam bulan Ramadhan ini, manusia tiba-tiba naik tarafnya seperti MALAIKAT. Orang-orang yang agak KURANG BAIK perangainya dalam bulan lain, biasanya akan berubah menjadi lebih baik. Mungkin antara faktor utamanya adalah kerana para pengacau utama jiwa manusia, iaitu syaitan dan iblis telah dirantai dan dibelenggu!

Orang yang berpuasa, turut dituntut menjaga akhlaknya agar ibadah tersebut lebih sempurna. Tidak bercakap dengan perkataan-perkataan kotor, tidak mencela dan mengeji orang, menjaga pandangan, tidak mendengar nyanyian yang melalaikan dan lain-lain.

Dengan mempraktikkan kesemua amalan-amalan di atas selama sebulan penuh, apakah tidak akan menjadi kebiasaan pada bulan-bulan yang lain? Momentum ini insyaallah akan berterusan dan berkelanjutan setelah habis Ramadhan. Maka beruntunglah mereka-mereka yang benar-benar berPUASA dan menyucikan suluknya.

”Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa, dan sesungguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya.” (Asy Syams:9-10)

4. Qadirun ’ala Kasbi (Berdikari):

Seorang Muslim itu mestilah berdiri di atas kakinya sendiri! Dia perlu ada sumber kewangan yang diusahakannya sendiri. Perkara ini sangat penting kerana dakwah memerlukan bantuan-bantuan material yang cukup untuk digerakkan (di samping usaha para da’i dan kudrat Allah SWT)!

Bukankah Abu Bakar menginfaqkan seluruh harta bendanya untuk Islam? Bukankan Uthman RA membeli perigi Mau’nah daripada Yahudi Madinah, lalu diinfaqkan untuk umat Islam? Bukankah di awal-awal dakwah Rasulullah SAW, isterinya Khadijah RA memberi seluruh harta benda hasil perniagaannya kepada dakwah?

Jadi, apa hubungannya dengan bulan Ramadhan? Baiklah, ada ibadah yang dilakukan semata-mata tubuh badan dan hati, dan ada pula ibadah yang memerlukan persiapan ekonomi! Zakat merupakan salah satu daripadanya.

Dalam bulan Ramadhan, kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah. Walaupun nilai yang telah ditetapkan tidak banyak, namun hikmahnya teramat besar! Dalam bulan ini juga, kita memerlukan wang untuk bersedekah, membuat jamuan berbuka puasa, infaq dan lain-lain.



5. Muthaqqaful Fikri (Luas Pengetahuan):

Salah satu syiar utama sepanjang Ramadhan adalah memperbanyakkan tilawah Al Quran. Al Quran adalah sebuah kitab yang diturunkan kepada umat Islam yang objektifnya adalah supaya menjadi panduan dan rujukan kita di dalam setiap segi kehidupan.

Tilawah yang dimaksudkan tidak hanya sekadar membaca Al Quran, sebaliknya turut memperhatikan makna, makraj huruf, tajwid dan menyertakan kehadiran jiwa. Dengan menjaga kesemua perkara ini thaqafah (pengetahuan) kita nescaya akan bertambah dan banyak pedoman-pedoman baru yang akan Allah tunjukkan.

Dan dengan banyak membaca Al Quran, jiwa menjadi lebih tenang, dan ilmu kitapun bertambah. Bila ilmu bertambah, imanpun akan bertambah, insyaallah. Rasulullah SAW pernah bersabda;

”Barangsiapa bertambah ilmunya akan tetapi dia tidak bertambah imannya, maka dia tidak bertambah kepada Allah kecuali semakin jauh saja...” (HR Muslim)

6. Qawwiyul Jismi (Fizikal Yang Kuat):

Rasulullah SAW pernah bersabda, ”Shumu Tashihu!” yang bermaksud, ”Berpuasalah, maka kamu akan menjadi sihat!” Sesungguhnya, sabda Nabi memang sangat benar, dan banyak kajian yang dibuat telah membuktikan perkara ini.

Di antara kelebihan dan manfaat puasa kepada kesihatan kita (yang sempat saya cari) adalah;

1. menyegarkan fizikal dan mental

2. menghancurkan sisa-sisa racun dan toksin dalam darah

3. menyegarkan otot-otot dan membuatkan anda lebih bertenaga

4. menyeimbangkan peredaran darah

5. tatkala darah terlalu berasid, puasa akan mengalkalikannya semula (sel kanser tidak dapat hidup dalam persekitaran alkali)

6. turunkan darah tingggi

7. mencerahkan penglihatan mata

Cara berpuasa yang sihat adalah dengan bersahur ringan tanpa karbohidrat, iaitu dengan hanya makan buah-buahan, sayur dan minum air kosong. Tanpa karbohidrat yang berlebihan, tiada bekalan asid kepada sistem penghadaman dan darah. 7 biji buah tamar sudah sudah cukup kerana ia sangat kaya dengan zat nutrien dan antioksidan.

7. Mujahidun Linafsihi (Bermujahadah):

Ramadhan adalah bulan bermujahadah. Tatkala berpuasa, kita masih lagi meneruskan kerja-kerja kita seharian. Pelajar masih menghadiri kelas, orang dewasa masih pergi bekerja, dan ibu-ibu masih lagi mengurus rumah dan memasak. Dengan bermujahadah, puasa kita tidak langsung mengganggu prestasi dan kualiti kerja kita, malah memberi lebih produktiviti.

Sepanjang berpuasa, umat Islam diperintahkan meninggalkan perkara yang halal pada bulan yang lain. Makan, minum, bersetubuh dll adalah merupakan perkara-perkara yang dilarang. Tanpa bermujahadah, nescaya sangat susah untuk meninggalkan perkara-perkara ini!

Juga Ramadhan menjadi medan untuk kita berlatih meninggalkan perkara yang sia-sia. Pada bulan lain, mungkin kita banyak menonton tv, bermain games, melepak, berbual kosong, dan berjaga hingga lewat malam. Tapi, bila tibanya Ramadhan, secara automatik kita akan cuba sedaya upaya agar semua kebiasaan ini ditinggal terus atau dikurangkan.

”...dan orang-orang yang terhadap perkara sia-sia, dia menjauhinya...” (Al Mukminun: 3)

Rasulullah SAW bersabda, "Di antara kebaikan Islamnya seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat kepadanya.” (HR Muslim)

8. Munazhamu Fi Syuunihi (Teratur Urusannya):

Jika dalam bulan yang lain hidup kita penuh dengan urusan-urusan yang perlu diatur, maka bertambah-tambah lagilah pada bulan Ramadhan! Dengan perencanaan yang rapi, jadual yang baik, pelaksanaan yang terkawal dan evaluasi di akhirnya, insyaallah segala urusan yang berjalan lancar.

Kita perlu merancang bagaimana dapat menyelitkan tilawah Al Quran dan zikir di sela-sela kesibukan yang lain. Kita perlu merencanakan keluar masuk kewangan kita pada bulan ini, agar tidak ketinggalan berinfaq. Kita mesti mengawal masa yang ada agar tidak dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Pokoknya, semua urusan kita hendaklah diatur sebaiknya!

9. Harithun ’ala Waqtihi (Menjaga Masa):

Bulan Ramadhan ini penuh dengan waktu-waktu yang perlu dijaga dan dipatuhi. Kita ada waktu untuk bersahur, waktu untuk berbuka, waktu untuk solat tarawih, waktu untuk mengeluarkan zakat fitrah dan lain-lain.

Maka, Ramadhan itu mengajar kita agar berdisplin terhadap masa! Kita disunatkan melambatkan sahur, sunat menyegerakan berbuka, dan sunat bersolat tarawih pada malamnya.

Cuba kita bayangkan ketika waktu berbuka, kita menanti dengan penuh sabar detik-detik itu. Kita penuhi penantian dengan tilawah, zikir dan doa kepada Allah. Dan akhirnya tatkala tiba saatnya, kita begitu berDISIPLIN untuk berbuka.

Jadi, cuba kita bandingkan kehidupan seorang pemuda yang belum berkahwin misalnya. Dia menanti dengan penuh sabar saat yang belum tiba itu dengan banyak berpuasa dan berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusannya. Malah, dia tidak terpengaruh dengan godaan hawa nafsu supaya ber’couple’ atau berteman secara suka-suka... (apasal tiba-tiba cerita pasal kawin ni? He..he..)

10. Naafi’un Lighairihi (Bermanfaat Kepada Orang Lain):

Memang bulan Ramadhan ini adalah bulan yang mengajar kita agar bermanfaat kepada orang lain. Puasa itu sendiri adalah satu manifestasi keperihatinan kita terhadap rakan-rakan kita yang kurang bercukupan. Kita merasai sendiri bagaimana sengsaranya mereka menahan kelaparan.

Dengan perasaan tersebut, tangan kita menjadi ringan untuk membantu mengurangkan penderitaan golongan ini. Anak-anak yatim misalnya, adalah golongan yang perlu diberi bantuan samada kewangan, tempat tinggal dan pendidikan agar kelak mereka menjadi anak-anak yang hebat dunia dan akhiratnya.

Adat memberi juadah berpuasa juga amat baik diteruskan sesama jiran. Jika di waktu lain tidak berkesempatan, maka sekaranglah waktunya kita merapatkan ukhuwah dan silaturrahim sesama tetangga. Saudara kita merasai kuih muih kegemaran kita, manakala kita pula merasai masakan kegemaran mereka. Dengan ini, takruf menjadi lebih mendalam dan persaudaraan bertambah erat!

Wallahu a’lam.

Selamat menempuh Pesta Ibadah Ramadhan!

Daripada Usrah Pada 8 Ramadhan 1431H, 5.30pm

No comments:

Post a Comment